JANUARI 2023

Infrastruktur, Kemudahan Rakyat Agenda Utama


LIMBANG: Meningkatkan jaringan perhubungan dan pembangunan lain akan menjadi agenda utama pembangunan di Utara Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, projek yang diberi keutamaan itu akan dilaksanakan tahun ini bagi memastikan Limbang dan Lawas tersaling hubungan dengan kawasan lain di Sarawak.

Projek yang diberi tumpuan termasuk pembinaan kemudahan jaringan jalan raya, meneruskan projek pembinaan lebuh raya pesisir utara (Northern Coastal Highway), Sarawak Link Road, kemudahan sistem telekomunikasi serta kemudahan lain, katanya kepada media ketika ditemui selepas melakukan Kunjungan Tahun Baru Cina (TBC) ke beberapa kediaman pemimpin kaum Cina di Limbang semalam.

Awang Tengah berkata, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan sangat penting dan satu daripadanya ialah Lebuh raya Pesisir Utara.

“Kita sudah mendapat persetujuan daripada kerajaan Brunei, Sarawak Link Road juga akan dilaksanakan, fasa pertama sudah dalam pembinaan dan ini akan kita teruskan. Begitu juga jalan yang menghubungkan terus ke sempadan di antara Sarawak dengan Indonesia juga dalam perancangan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar menegaskan, di samping itu kerajaan turut membangunkan kemudahan asas melibatkan jalan-jalan kampung di kawasan luar bandar.

“Kemudahan asas seperti bekalan elektrik, yang utama ialah kita dalam pelaksanaan sekarang iaitu untuk menyambung Limbang dan Lawas kepada State Grid, dan mudah-mudahan ini akan dapat disiapkan dalam tahun 2024,” tegas beliau.

“Dengan terlaksananya projek ini maka ia akan memudahkan kita untuk kita memperluaskan lagi bekalan elektrik ke kawasan di luar bandar. Bekalan air juga diberi tumpuan,” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Yunus Tambi.

Sumber dari : Jiwa Bakti